Zakat Pendapatan : Pengenalan & Jenis Zakat Pendapatan

zakat pendapatan

Gaji tu dikira zakat pendapatan ke? Ya, gaji adalah salah satu perkara yang dikenakan zakat pendapatan. Selain itu, hasil usaha halal seperti upah, hadiah & royalti juga perlu dikenakan zakat pendapatan.

Zakat Pendapatan (juga dikenali sebagai mal al-mustafad) atau harta pendapatan merujuk kepada zakat ke atas hasil usaha halal yang diperoleh seseorang dalam tahun semasa. Contohnya gaji, upah, bonus, royalti, komisen, dan pemberian tertentu.

Dalil Wajib Zakat

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Surah al-Baqarah: 267)

Allah menjelaskan bahawa segala ‘hasil usaha yang baik’ itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam ‘hasil usaha’ yang wajib dizakat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya, ” Kalau tidak mempunyai pekerjaan?”. Baginda bersabda, “Tolonglah mereka yang meminta pertolongan”. Mereka bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak berkuasa?”. Baginda menjawab, “Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah”.

(Hadis riwayat Muslim)

Jenis-Jenis Harta (Hasil) Pendapatan

Ulama’ mutaakhirin membahagikan Mal al-Mustafad kepada kategori berikut:

Zakat Harta Penggajian dan Upah Kerja

Kategori pertama merujuk kepada harta yang diperoleh hasil daripada pekerjaan yang dilakukan untuk pihak lain sama ada majikan kerajaan, swasta atau individu. Ianya sebagai balasan kepada sumbangan tenaga, idea, atau kedua-duanya dalam tempoh yang dipersetujui (harian, mingguan, bulanan atau tahunan).

Contoh:

  • Gaji, upah, bonus, tuntutan kerja lebih masa, gratuiti, pampasan, pencen, hadiah, anugerah dan insentif.
  • Hasil Skim Pilihan Saham Pekerja (ESOS).
  • Ringkasnya, semua pendapatan yang diperoleh melalui pekerjaan atau perkhidmatan bergaji.

Zakat Harta Pemberian atau Sumbangan

Kategori kedua merujuk kepada harta yang diterima bukan hasil daripada pekerjaan. Ia merupakan pemberian atau sumbangan daripada individu atau institusi dalam tempoh tahun semasa, dalam bentuk harta zakawi (bukan harta tetap seperti tanah atau bangunan), dan bukan juga nafkah wajib.

Contoh:

  • Hibah, hadiah, saguhati, sedekah, pencen pasangan.
  • Pampasan, harta pusaka, mahar perkahwinan dan seumpamanya.

Zakat Harta Kerja Bebas

Kategori ini merujuk harta yang diperoleh hasil daripada pekerjaan bebas tanpa ikatan dengan mana-mana pihak. Pendapatan ini biasanya datang daripada hasil perkhidmatan profesional atau projek tertentu.

Contoh:

  • Bayaran perkhidmatan profesional seperti peguam, arkitek, doktor, perunding, dan sebagainya.
  • Bayaran projek kontraktor atau keuntungan projek bermusim.
  • Komisyen dan residual income daripada jualan insurans, takaful, unit amanah, brokeraj dan seumpamanya.
  • Royalti atau komisyen hasil penulisan, penerbitan dan aktiviti seni.
  • Pendapatan sekali-sekala seperti hasil jualan aset tetap, pembiayaan semula aset atau pinjaman bank tanpa tujuan tertentu.

Zakat Harta al-Mustaghallat

Merujuk kepada pendapatan yang diperoleh daripada aset yang tidak dikenakan zakat secara langsung, tetapi mendatangkan hasil melalui sewaan atau jualan hasilnya.

Contoh:

  • Hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis atau aset perniagaan.
  • Sewaan kenderaan, pengangkutan, mesin dan peralatan.
  • Hasil daripada ternakan seperti susu, telur atau madu yang dijual.

Tolakan Zakat dan Keperluan Asasi (Had al-Kifayah)

Menurut Fatwa Negeri Selangor, keperluan asas yang sangat diperlukan oleh seseorang adalah dikecualikan daripada kewajipan zakat.

Asas Had al-Kifayah bermaksud semua keperluan asas bagi diri seseorang dan tanggungannya — seperti isteri, anak-anak, ibu bapa atau adik-beradik — yang mesti dipenuhi bagi mengekalkan kelangsungan hidup yang munasabah.

Keperluan asasi yang diambil kira dalam penentuan Had al-Kifayah termasuk:

  • Perlindungan (tempat tinggal)
  • Makanan dan minuman
  • Pakaian
  • Perubatan
  • Pendidikan
  • Pengangkutan
  • Jika anda nak tahu berapa kadar bayaran zakat pendapatan anda setelah buat tolakan keperluan asasi, boleh tekan dengan rujuk pada link kalkulator zakat ini. Setelah dapat penolakan tersebut, kadar zakat pendapatan hanya 2.5% sahaja dan boleh dilakukan secara bulanan kerana lebih mudah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Related articles

PLATFORM EZAKAT.ORG

Kami telah mendapat tauliah sebagai Penolong Amil Kutipan Zakat IPIS di bawah nama Sekolah Rendah Islam Integrasi Hira’ Batu Belah.

Join Komuniti Kami
Terokai Topik Menarik
Artikel Pilihan Editor