Mengapa Zakat Simpanan Ini Penting
Mata wang sama ada berbentuk kertas, siling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas (85 gram) atau perak (595 gram).
Table of Contents
ToggleSabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Kaedah Kiraan Wang Simpanan Zakat:
1. Simpanan Tetap
Apabila sesuatu simpanan tetap itu telah genap setahun dan jumlahnya melebihi daripada paras nisab (nilai 85 gram) maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut.
2. Simpanan Biasa
Ianya adalah dikira berdasarkan kepada jumlah baki pada hujung haul.
3. Simpanan Dalam Satu Akaun
Jika sesuatu simpanan itu telah genap setahun dan pada hujung haul (setelah ditolak faedah yang ada dalam tempoh tersebut) adalah melebihi paras nisab, maka seseorang itu wajib untuk mengeluarkan zakat atas wang simpanan.
4. Simpanan Dalam Beberapa Akaun
Jika seseorang itu mempunyai beberapa akaun simpanan, maka baki pada hujung haul dari setiap akaun simpanan tersebut mestilah dicampurkan untuk mengira zakat walaupun mungkin jika dikira satu-satu akaun, baki hujung haulnya tidak mencukupi nisab.